Sila buat iklan anda sendiri | Percuma | Beritahu kawan kontraktor & tukang anda supaya buat iklan di sini.

INDUSTRIALIZED BUILDING SYSTEM (IBS)

Ada di antara kontraktor yang tersenarai di Kontraktor247 mungkin menawarkan kaedah pembinaan berasaskan Industrialized Building System atau singkatannya, IBS.

Walaupun kebanyakan kontraktor sudah sedia maklum mengenai IBS tatapi di pihak pelanggan mereka mungkin masih kurang jelas mengenainya.

IBS atau Industrialized Building System atau dalam Bahasa Melayunya – Sistem Binaan Industri -merujuk kepada kaedah membina bangunan seperti rumah kediaman, bangunan komersial, bangunan kerajaan dan sebagainya menggunakan komponen-komponen utama yang telah siap dikilang.

Misalnya, jika dinding sebuah rumah dibina dari dinding batu-bata berplaster ia dianggap sebagai kaedah membina dinding konvensional atau juga dipanggil, wet construction. Ada kerja bancuh simen, susun bata, memplaster dan sebagainya.

Tetapi jika dinding rumah itu dibina dari block konkrit yang telah siap dari kilang atau dari panel cement board atau dry wall, metal deck dan sebagainya, maka pembinaan dinding itu dikategorikan sebagai dinding IBS.

Ini bermakna perkataan IBS tidak merujuk kepada satu jenis bahan yang digunakan sebagai komponen pembinaan.

Di Malaysia, kaedah pembinaan menggunakan komponen-komponen IBS sepenuhnya masih kurang popular. Tetapi jika di negara maju seperti Amerika Syarikat atau di negara-negara Eropah, kaedah pembinaan menggunakan komponen-komponen IBS adalah lumrah.

Jika anda menonton video-video yang memaparkan proses pembinaan rumah di Amerika Syarikat misalnya, anda boleh melihat bagaimana rumah-rumah mereka dibina menggunakan komponen-komponen IBS sepenuhnya walaupun yang melibatkan rumah ultra-mewah.

Melangkah ke depan sambil menilai pelbagai faktor yang mencabar industri pembinaan, kami yakin IBS akan turut diadoptasi secara meluas di negara ini.

Isu-isu seperti kekurangan pekerja, kos-kos pembinaan yang semakin meningkat, tempoh siap kerja yang lama, kerja-kerja terbengkalai serta kualiti yang sukar dijangka adalah antara faktor-faktor yang akan mengalih kecenderungan masyarakat kepada IBS.

Ini kerana hanya sistem pembinaan berasaskan IBS sahaja yang dilihat mampu menawarkan potensi untuk membawa penyelesaian kepada semua masalah tersebut.

Dengan sistem pembinaan menggunakan komponen IBS, kepakaran dan kemahiran pekerja akan lebih berfokus, pengkhususan progres dalam proses pembinaan akan lebih mudah dirancang dan dikawal, begitu juga dengan kualiti dan sebagainya.

IBS adalah masa depan industri pembinaan. Tiada siapa yang boleh menafikannya.